Redaksi teksnya Hadis Jibril

Dari Umar bin Khattab berkata[3]:

“Tatkala kami tengah duduk-duduk di sisi Rasulullah , lalu datanglah seorang lelaki yang bajunya sangat putih, rambutnya sangat hitam, tidak nampak padanya bekas-bekas perjalanan, dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya. Hingga dia mendatangi Nabi lalu menyandarkan lututnya pada lutut baginda dan meletakkan kedua telapak tangannya pada paha baginda,
  • Kemudian dia bertanya, “Wahai Muhammad, kabarkanlah kepadaku tentang Islam?” Rasulullah menjawab, “Kamu bersaksi bahawa tidak ada sesembahan (yang berhak disembah) selain Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa Ramadhan, serta haji ke Baitullah jika kamu mampu bepergian kepadanya.” Dia berkata, “Kamu benar,” Umar berkata, “Maka kami hairan terhadapnya, kerana dia yang bertanya tapi dia juga yang membenarkannya.”
  • Dia bertanya lagi, “Kabarkanlah kepadaku tentang iman?” Baginda menjawab, “Kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, para Rasul-Nya, hari akhir, dan kamu beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk,” dia berkata, “Kamu benar.”
  • Dia bertanya, “Kabarkanlah kepadaku tentang ihsan?” Baginda menjawab, “Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya maka yakinlah sesungguhnya Dia melihatmu.”
  • Dia bertanya lagi, “Kabarkan kepadaku bilakah hari (kiamat) itu?” Baginda menjawab, “Tidaklah orang yang ditanya itu (saya) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (kamu).” Dia bertanya, “Kalau begitu kabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya?” Baginda menjawab, “Apabila seorang hamba perempuan melahirkan majikannya, dan kamu melihat orang yang tidak beralas kaki, telanjang, miskin, penggembala kambing, namun bermegah-megahan dalam membangun bangunan.”
Kemudian setelah itu dia beranjak pergi, dan aku tidak bertanya kepada Nabi tentang itu selama beberapa saat. Tidak berselang lama kemudian baginda bersabda, “Wahai Umar, apakah kamu tahu siapakah orang yang bertanya tersebut?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda bersabda, “Itu tadi ialah Jibril, dia mendatangi kalian untuk mengajarkan kepada kalian tentang agama kalian.”
— HR. Muslim no.8

Hadis ini juga diriwayatkan dari Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari dalam kitab hadis sahihnya, Sahih Bukhari, 1:2:48, dengan redaksi di akhir hadis yang berbunyi[4]:

“...hari Kiamat termasuk dalam lima perkara yang tidak diketahui kecuali oleh Allah.” Kemudian dia pergi, lalu Nabi bersabda, ”Panggil dia kembali!” Tetapi orang-orang tidak menemukannya. Baginda kemudian bersabda, ”Dia adalah Jibril, datang kemari untuk mengajari manusia tentang agamanya". Abu Abdullah berkata: Baginda (Nabi) menyatakan semua hal tersebut merupakan sebahagian daripada keyakinan.”
— HR. Al-Bukhari, no. 50